
Assalamualaikum. Pagi itu sangat nyaman. Aku tidak mengerti mengapa segelintir individu tidak menikmati suasana ini. Mereka lebih gemar untuk terus berada di alam mimpi. Setiap pagi, aku akan berada di tepi jendela bilik. Melihat suasana pagi yang tidak pernah menjemukan. Menghirup udara pagi yang menyegarkan untuk membangkitkan semangat diri bagi melaksanakan tugas harian. Mendengar burung berkicauan. Melihat tupai berkeliaran di dahan pokok. Langit juga masih membiru menanti kehadiran cahaya matahari. Pernah juga aku melihat beberapa ekor kucing memakan rumput di pagi hari. Pelik yang kurasakan kerana kucing merupakan haiwan karnivor. Aku tersenyum seorang diri, barangkali itu adalah salah satu makanan untuk memperbetulkan sistem penghadaman mereka. Entah mengapa, sukar untuk aku luahkan bagaimana perasaan yang aku alami di pagi hari. Ianya seperti membawa hidup yang baharu. Menjadikan hari tersebut berjalan dengan lancar dan tenang sehingga ke waktu malam. Mungkin orang lain juga merasakan perkara yang sama dengan aku.
Alangkah ruginya bagi insan yang bangunnya tika matahari sudah berada di langit. Apa yang mereka rasakan hanyalah hangat matahari tanpa merasai kedinginan pagi terlebih dahulu. Tidakkah mereka rasa seperti mereka kehilangan waktu untuk menenangkan minda ? Waktu untuk bersendirian di mana hanya diri kita, minda yang kosong dan alam sekitar. Bagiku tengah hari sudah waktu kemuncak untuk melaksanakan pelbagai kerja. Bagaikan hidup tidak lengkap tanpa merasai suasana pagi. Hilang semua ketenangan dan semangat. Sepanjang hari bagaikan suatu bebanan dan tekanan yang ingin dilepaskan. Buanglah tabiat mu itu, Ketepikanlah bantal dan selimutmu. Aku pasti hidup dikau akan lebih baik dari sebelum ini.
No comments:
Post a Comment